KUALA LUMPUR, 15 Jan: Kerajaan bercadang untuk menaikkan syarat melibatkan jumlah peratusan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi projek bernilai RM10 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, syarat sedia ada iaitu 50 peratus akan ditingkatkan bagi memastikan penggunaannya dapat diperluaskan dalam kalangan kontraktor.
Jelas beliau, kerajaan sebelum ini melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menetapkan 50 peratus daripada projek bernilai RM10 juta dan ke atas perlu menggunakan BIM.
“Ketetapan itu yang bermula pada 2021 dengan menyaksikan 10 peratus peningkatan bagi setiap tahun sehingga 2025. Selepas ini kita akan tingkatkan jumlah itu,” katanya pada sidang media Program Jelajah 2024 JKR BIM: Trail Training Lectures Zon Tengah di sini, hari ini.
Syarat penggunaan BIM bagi projek bernilai RM10 juta akan dinaikkan
Yang turut hadir, Pengarah kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu JKR , Maria Marcus dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Zahari Ibrahim.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keselamatan penggunaan BIM, Ahmad Maslan berkata ia terbukti selamat dengan memberitahu sehingga kini pihaknya tidak menerima apa-apa laporan melibatkan sebarang masalah.
“Walaupun namanya ‘building’, tetapi ia juga digunakan dalam pembinaan jalan raya seperti Lebuh Raya PAN Borneo Sabah dan Sarawak. Penggunaannya berkesan menyelamatkan ratusan pertembungan, pengalihan utiliti dan pengambilan semula tanah yang lebih tepat dan cekap.
“Menara Merdeka 118 dan juga TRX di Kuala Lumpur juga menggunakan BIM,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ahmad Maslan berkata, KKR akan mempertingkatkan kefahaman dan jumlah kontraktor untuk menggunakan BIM dalam setiap projek mereka.
“Ini melibatkan zon Sabah, Sarawak, Utara, Tengah, Selatan dan Timur. Kita komited untuk pertingkatkan jumlah daripada kawasan – kawasan ini” katanya. – TVS