KOTA SAMARAHAN, 15 Jan: Peningkatan pendapatan negeri membolehkan kerajaan Sarawak untuk memperkenalkan biasiswa khas bagi pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata biasiswa ini membuktikan kerajaan Sarawak terus menyokong pembangunan pendidikan terutama dalam perubatan.
“Sarawak akan terus maju, dan insya-Allah, pendapatan yang meningkat ini akan dikongsi bersama rakyat. Kami akan menyediakan biasiswa untuk anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, inisiatif biasiswa ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan profesional kesihatan tempatan, tetapi juga untuk menangani cabaran populasi menua di Sarawak.
Langkah ini, katanya, adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh untuk memperkukuhkan ekosistem kesihatan negeri melalui pelaburan dalam penyelidikan dan infrastruktur.
“Kerajaan negeri komited melabur dalam sektor kesihatan. Sebagai contoh, kami telah membangunkan Tropical Disease Research Center dengan kos sekitar RM300 juta.
“Kemudahan ini akan dimanfaatkan oleh penyelidik untuk meneroka kaedah dan ubat-ubatan baharu bagi merawat penyakit tropika.
“Ia juga membuka ruang kepada saintis, ahli farmasi dan doktor tempatan menjalankan penyelidikan yang memberi manfaat kepada Sarawak dan masyarakat global,” ujarnya.
Beliau turut mengumumkan rancangan kerajaan untuk menubuhkan pusat rawatan kanser di Sarawak, yang akan menjadi pusat penyelidikan dan rawatan utama di rantau ini.
“Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Pusat Kanser setaraf hospital universiti. Walaupun kosnya tinggi, lebih RM1 bilion akan diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan pusat ini beroperasi.
“Dengan adanya pusat ini, pesakit tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur yang melibatkan kos tinggi untuk rawatan. Ia akan memudahkan rakyat Sarawak mendapatkan rawatan,” katanya. – TVS