Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Pusat Kesihatan Prima, Hospital Pengajar UNIMAS di Kota Samarahan tengah hari tadi. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Sarawak komited bangunkan perkhidmatan kesihatan, tangani cabaran populasi menua

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KOTA SAMARAHAN, 15 Jan: Sarawak komited menangani cabaran populasi menua dengan menekankan pembangunan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berinovasi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan bahawa usaha berkenaan amat penting seiring negeri ini melangkah ke hadapan dengan jangkaan akan mengalami peningkatan ketara dalam populasi warga emas.

Menurut Abang Johari, statistik menunjukkan bahawa Sarawak bakal mencapai 60 peratus populasi yang berusia 60 tahun ke atas dalam tempoh terdekat.

“Kita menuju ke arah populasi menua. Apabila ini berlaku, keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan akan meningkat, terutamanya untuk penyelenggaraan kesihatan warga emas.

“Saya sendiri berusia 74 tahun, jadi saya amat memahami keperluan ini,” kata beliau semasa merasmikan Pusat Prima UNIMAS di Kota Samarahan, di sini hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa teknologi akan memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan kesihatan ini.

Abang Johari menekankan penggunaan alat perubatan digital dan analisis data menggunakan kecerdasan buatan (AI) dijangka memberikan impak besar dalam meningkatkan keberkesanan rawatan.

“Dengan data perubatan yang dianalisis menggunakan AI, kita dapat mengenal pasti penyakit dengan lebih tepat dan menyediakan rawatan yang sesuai,” jelas beliau.

Sebagai langkah persediaan, beliau mendedahkan kerajaan negeri telah melabur dalam pembangunan infrastruktur kesihatan utama seperti Pusat Penyelidikan Penyakit Tropika dan Pusat Kanser Sarawak.

“Projek-projek ini masing-masing melibatkan kos RM300 juta dan lebih RM1 bilion.

“Pusat-pusat ini bukan sahaja untuk rawatan, tetapi juga untuk penyelidikan. Kita ingin menjadi peneraju dalam mencari penyelesaian kepada penyakit tropika dan kanser, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi untuk kemanusiaan,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa kemudahan infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo dan sistem ART (Automated Rapid Transit) yang sedang dibangunkan akan memastikan akses mudah ke fasiliti kesihatan, terutamanya bagi warga emas yang memerlukan rawatan segera.

“Pelaburan ini adalah untuk memastikan rakyat kita, terutamanya warga emas, dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dengan akses kepada rawatan kesihatan berkualiti,” kata beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan