KUALA LUMPUR, 15 Jan: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menafikan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberhentikan susulan isu kontrak sewa helikopter berjumlah RM16 bilion.
MINDEF berkata, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Laut (PTL) dan Panglima Tentera Udara (PTU) serta pegawai-pegawai tertinggi ATM tidak ditukarkan seperti dakwaan itu yang tular.
“MINDEF mengesahkan bahawa tiada saling perkaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan.
“Satu laporan berita palsu telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta laporan polis juga telah dibuat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan maklumat palsu,” jelas kementerian itu menerusi kenyataan media hari ini.
Pada Disember lepas, Kerajaan Malaysia menandatangani kontrak dengan Weststar Aviation Services Sdn. Bhd dan menerusi persetujuan itu, sebanyak 28 buah helikopter disewa untuk kegunaan kementerian dan agensi kerajaan melalui kaedah pajakan aset secara penswastaan.
Memetik laporan Dagang News, daripada jumlah itu sebanyak 12 buah helikopter akan diserahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dua kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). -TVS.