PUTRAJAYA, 15 Jan: Pelaburan RM1 bilion yang diterima Yinson Holdings Malaysia (YINS.KL) daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan Pengurusan Pelaburan British Columbia menunjukkan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur luar.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia turut dibuktikan dengan minat yang ditunjukkan ADIA untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan di Malaysia.
Jelas beliau hasrat itu telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan kerja beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
“Ini sudah pasti menunjukkan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur-pelabur termasuk ADIA dari UAE. Hari ini Perdana Menteri ke London dan dijadual akan melakukan pertemuan dengan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer.
“Selepas itu akan ke Brussel dan akan bertemu dengan Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo dan kemudiannya ke Davos bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia,” katanya pada sidang media mingguan Kerajaan Perpaduan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai amaran berlakunya luruan monsun sehingga 19 Januari ini di beberapa buah negeri.
“Dari segi persiapan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang situasi. Kita (kerajaan) juga meminta agensi-agensi keselamatan lain supaya meningkatkan kesiapsiagaan,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini memberi amaran luruan monsun berpotensi menyebabkan hujan berterusan di selatan Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak dalam tempoh berkenaan. – TVS