KOTA SAMARAHAN, 15 Jan: Sarawak terus memperkukuh hubungan strategik dengan Jepun dalam usaha memanfaatkan teknologi canggih, khususnya dalam bidang perubatan dan pembangunan bahan sintetik sebagai langkah untuk meningkatkan sektor kesihatan negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan bahawa kerajaan negeri kini bekerjasama dengan Jepun untuk menghasilkan bahan sintetik daripada gas asli.
Tambahnya, teknologi ini bukan sahaja inovatif tetapi juga memberikan nilai tambah kepada sumber asli Sarawak.
“Jepun telah menghasilkan bahan seperti polietilena dan poliester daripada gas asli. Kita sedang bekerjasama untuk membawa teknologi ini ke Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Prima UNIMAS di Kota Samarahan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa bahan sintetik ini mempunyai pelbagai aplikasi, terutamanya dalam sektor perubatan.
“Bahan ini boleh digunakan untuk menghasilkan alat perubatan berteknologi tinggi yang sangat diperlukan untuk rawatan moden.
“Ini adalah langkah strategik untuk memanfaatkan sumber gas asli kita dan menjadikannya produk bernilai tambah. Dengan teknologi Jepun, kita boleh menghasilkan produk yang diperlukan oleh sektor perubatan,” tambahnya.
Selain itu, Abang Johari turut memuji keupayaan Jepun dalam bidang robotik dan alat perubatan digital yang telah memberi impak besar dalam meningkatkan kualiti rawatan di negara tersebut.
Beliau optimis bahawa kerjasama ini akan membuka peluang baharu untuk Sarawak menjadi hab teknologi perubatan di rantau ini.
“Doakan agar usaha ini berjaya. Jika kita dapat membawa teknologi ini ke Sarawak, ia akan memberikan manfaat besar kepada rakyat kita, terutamanya dalam sektor kesihatan,” katanya lagi. – TVS