KUCHING, 15 Jan: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak komited membangunkan infrastruktur di negeri ini menggunakan RM1.31 bilion yang diperuntukkan kerajaan Sarawak pada tahun 2025.
Pengarah JKR Sarawak, Cassidy Morris berkata peruntukan besar ini bertujuan memastikan pelaksanaan projek infrastruktur dijalankan dengan lebih cekap dan terancang.
“Kami di JKR Sarawak berusaha memastikan setiap projek dilaksanakan dengan efisien melalui perancangan yang dipertingkatkan, pemantauan yang rapi, dan penggunaan teknologi inovatif,” katanya semasa Perhimpunan JKR Sarawak 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai inovasi pengurusan projek, Cassidy berkata, JKR Sarawak bakal memperkenalkan semula JKR Project Dashboard, sebuah platform digital yang direka untuk mempermudah pengurusan projek.
“Platform ini, yang dinaik taraf, akan merangkumi integrasi aplikasi mudah alih dan kecerdasan buatan (AI). Ia akan digunakan untuk memantau laporan semua projek, termasuk inisiatif negeri dan persekutuan.
“Dengan ciri seperti akses mudah alih dan integrasi AI, kami berharap teknologi ini dapat membantu perancangan kewangan projek dan audit dalaman pada masa depan,” jelasnya.
Selain itu, beliau mengumumkan bahawa JKR Sarawak akan menerima seramai 414 pekerja baharu pada tahun 2025, sebahagian daripada usaha memperkukuh inisiatif pembangunan infrastruktur.
“Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, JKR Sarawak sedang menjalankan kajian kapasiti untuk menilai keperluan pengembangan tenaga kerja.
“Langkah ini akan memastikan jabatan mempunyai sumber manusia yang mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab yang semakin mencabar,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan tenaga kerja, JKR Sarawak turut memberi penekanan kepada latihan dan peningkatan kemahiran, khususnya dalam teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Pemodelan Maklumat Lebuhraya (HIM).
“Menjelang 2030, JKR menyasarkan pelaksanaan BIM dalam 100 peratus projek infrastruktur,” katanya.