JOHOR BAHRU, 15 Jan: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengamanahkan Sarawak untuk mempromosikan aktiviti sosial dan kebudayaan sempena Kepengerusian ASEAN 2025, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu menyatakan bahawa kementeriannya akan menganjurkan enam persidangan melibatkan delegasi ASEAN bagi mempromosikan aktiviti tersebut.
Abdul Karim memberitahu meskipun Sarawak tidak terpilih untuk mempromosikan sektor pelancongan kepada pelancong asing, wilayah ini bersama negeri-negeri lain tetap memainkan peranan dalam mempromosikan Malaysia di mata dunia.
“Walaupun Johor mendahului (bagi mempromosikan aktiviti pelancongan) tetapi setiap negeri di Malaysia akan terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mempromosikan serta menganjakkan lagi pelancongan di negara ini, lebih-lebih lagi Malaysia menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sarawak diamanahkan untuk menerajui aktiviti sosial dan kebudayaan. Walaupun pengisian program masih diperhalusi, sepanjang tahun ini kami telah diberi mandat untuk menganjurkan enam persidangan bagi merancakkan usaha ini,” katanya ketika ditemui TVS pada Majlis Perasmian The ASEAN Travel Exchange (TRAVEX) 2025 di Persada Johor International Convention Centre, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Selepas majlis, Abdul Karim dan Sebastian Ting mengadakan lawatan ke Pavilion Sarawak yang menampilkan lapan reruai, termasuk Sarawak Tourism Board (STB) dan Business Events Sarawak (BESarawak), untuk mempromosikan Sarawak kepada pelancong ASEAN dan delegasi antarabangsa.
Mandat daripada MOTAC ini, menurut Abdul Karim, akan membantu Sarawak mencapai sasaran lima juta pelancong dengan pendapatan pelancongan RM10 bilion tahun ini.
“Untuk mencapai sasaran tersebut, semua pemain industri dan agensi yang berkaitan perlu melaksanakan peranan mereka dengan menganjurkan lebih banyak program khusus untuk pelancong antarabangsa.
“Walaupun sasaran ini tinggi, saya yakin kita mampu mencapainya,” tambahnya.
TRAVEX 2025, sebahagian daripada ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025, berlangsung mulai hari ini hingga Isnin depan. – TVS