KUALA LUMPUR, 15 Jan: Syarikat penerbangan AirAsia menyasarkan untuk menerbangkan lima juta penumpang ke Sabah tahun ini melalui Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
AirAsia berkata, sasaran itu adalah dua kali ganda daripada jumlah penumpang yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu seramai 3.7 juta.
Jelas syarikat penerbangan tambang murah itu, sasaran pertumbuhan itu merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa.
“Sasaran pertumbuhan ini juga mengukuh kepimpinan AirAsia dalam meningkatkan ketersambungan rantau ini dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi syarikat,” kata syarikat itu menerusi kenyataan media hari ini.
AirAsia turut memaklumkan rancangan penambahbaikan pada 2025 turut meliputi usaha mengukuhkan rangkaian sedia ada ke dan dari Sabah.
“(Ia membabitkan) sebanyak 27 laluan dengan 13 adalah sambungan domestik dan 14 sambungan antarabangsa,” kata AirAsia.
Penambahbaikan itu dijangka menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam sektor penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setiap tahun dan pertumbuhan 43 peratus bagi kapasiti tempat duduk. -TVS.