KUCHING, 15 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengiktirafan terhadap Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak.
Dalam satu kenyataan hari ini, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak menghargai peranan Kerajaan Persekutuan dan Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) dalam menyelesaikan isu berkenaan.
“Kerajaan Sarawak dan PETROS akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS untuk memastikan PETROS melaksanakan peranannya sebagai pengagregat gas tunggal tanpa gangguan terhadap bekalan gas kepada pengguna, termasuk pelabur,” katanya.
Menurutnya, langkah ini akan memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, termasuk PETRONAS dan PETROS.
“Kerjasama strategik seperti ini akan memacu usaha menjadikan Malaysia, khususnya Sarawak, sebagai hab tenaga,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama ini akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam menarik pelaburan, penyelidikan teknologi dan industri baharu, terutamanya dalam derivatif petrokimia yang akan mendorong penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi serta pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam sidang media di Abu Dhabi pada Selasa, Anwar berkata isu berkaitan hak pengagihan gas antara PETRONAS dan PETROS di Sarawak telah diselesaikan menerusi beberapa rundingan, termasuk pertemuan dengan Premier Sarawak.
Anwar menjelaskan bahawa walaupun PETROS telah diberikan kuasa sebagai pengagregat gas tunggal, syarikat berpangkalan di Sarawak itu tidak akan mengganggu operasi PETRONAS yang sedia ada. – TVS