JOHANNESBURG, 15 Jan: Enam puluh mayat telah dikeluarkan dari lombong emas terbiar di Afrika Selatan, beberapa bulan selepas kempen untuk membersihkan kawasan itu daripada pelombong haram, kata polis pada Rabu.
Pihak berkuasa mula mengeluarkan mayat dan menyelamatkan mangsa pada Isnin, selepas penduduk menyuarakan kebimbangan bahawa lebih 100 orang mungkin telah terkorban di lombong di Stilfontein, kira-kira 140 kilometer barat daya Johannesburg.
“Pada hari kedua operasi, sejumlah 106 pelombong haram yang masih hidup telah diselamatkan dan ditahan kerana aktiviti perlombongan haram. Lima puluh satu telah disahkan maut,” kata polis dalam satu kenyataan.
Sembilan mayat telah dikeluarkan pada hari sebelumnya.
Lombong tersebut menjangkau kedalaman 2.6 kilometer ke bawah tanah dan sebuah mesin khas digunakan pada Isnin untuk mengangkat pelombong dan mayat, beberapa orang dalam satu masa.
Polis bimbang ratusan lagi mungkin masih terperangkap di bawah tanah. Namun, semasa lawatannya ke lokasi pada Selasa, Menteri Polis Senzo Mchunu enggan membuat anggaran bilangan mangsa.
“Tiada siapa di dunia ini yang boleh berkata: ‘Saya tahu pasti ada begitu ramai di bawah sana,’” katanya. “Setiap angka yang kita ada di sini hanyalah anggaran, sekadar tekaan.”
Satu video yang dihantar kepada AFP pada Isnin oleh Macua, sebuah kumpulan yang memperjuangkan nasib pelombong, menunjukkan puluhan mayat yang dibungkus dengan kain di dalam bilik lombong tersebut.
Sejak Ogos, lebih 1,500 pelombong haram telah ditahan di Stilfontein, selepas pihak berkuasa memulakan operasi pembersihan. Afrika Selatan juga telah mengusir 121 daripada mereka, menurut polis.
Mangsa yang terselamat kelihatan kurus kering, dengan kaki mereka hanya tinggal kulit dan tulang.
Pihak berkuasa pernah cuba memotong bekalan makanan dan air ke lombong tersebut untuk memaksa para pelombong keluar.
Namun, mahkamah pada November lalu memerintahkan polis supaya menamatkan semua sekatan di lombong itu, membolehkan penduduk di atas tanah meneruskan penghantaran makanan dan air kepada mereka yang berada di bawah.