Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Sesi Townhall 8 Tahun Bersama Premier di Hikmah Exchange Events Centre malam ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Tiada masalah untuk berkongsi, Petros dan Petronas sepakat demi kebaikan bersama

ByFebbright James

KUCHING, 14 Jan: Tiada masalah untuk Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) demi kebaikan bersama di negara ini.

Penjelasan ini disampaikan bagi meredakan persepsi segelintir pihak yang mendakwa kerjasama antara kedua-dua syarikat gergasi minyak dan gas itu akan menimbulkan persaingan sengit dan merugikan Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Petronas merupakan syarikat kebangsaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri minyak dan gas di Malaysia.

Malah pada masa sama, katanya Sarawak sentiasa bersedia memberikan kerjasama.

Bagaimanapun beliau turut menegaskan bahawa hak negeri harus dihormati berdasarkan peruntukan perlembagaan.

“Mengikut perlembagaan, kawasan ini adalah dalam lingkungan kepunyaan Sarawak, dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan perlombongan tertakluk di bawah kuasa negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi townhall sempena lapan tahun Abang Johari sebagai Premier Sarawak di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini pada Isnin malam.

Beliau menjelaskan bahawa penubuhan Petros merupakan langkah strategik untuk memastikan Sarawak turut mengambil bahagian secara aktif dalam pengurusan dan pengeluaran sumber asli, selaras dengan hak perlembagaan negeri.

“Petros memainkan peranan sebagai aggregator tunggal bagi pengagihan gas di Sarawak. Ini bukan soal persaingan, tetapi soal kerjasama yang selaras dengan undang-undang,” tambahnya.

Antara lain, beliau turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara Petros dan Petronas dalam projek strategik seperti pembangunan projek penangkapan, penyimpanan karbon (CCS) di Mukah.

Projek ini akan diusahakan secara bersama oleh Petros, Petronas dan Jepun, sekali gus menonjolkan potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga bersih.

“Baru-baru ini, dengan Perdana Menteri Jepun, kita bersetuju untuk bekerjasama dalam projek CCS.

“Tidak ada masalah, kita kongsi untuk kebaikan bersama, mereka (Petronas) kongsi dengan kita begitu juga kita kongsi dengan mereka,” katanya.

Dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Abang Johari turut mengingatkan bahawa Sarawak memiliki hak mutlak terhadap sumber asli negeri yant dirujuk kepada Perkara 47 Perlembagaan Sarawak.

“Hak ke atas harta negeri diwarisi oleh Sarawak sejak Hari Malaysia, dan kita berhak menguruskan sumber ini serta berkongsi dengan pihak lain,” katanya.

Penegasan ini sekali gus menggariskan pendirian jelas kerajaan negeri bahawa kerjasama dengan Petronas bukan sahaja wajar, tetapi juga strategik untuk memastikan hasil sumber negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembangunan Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan