BINTULU, 14 Jan: Sarawak terus memperkukuh komitmen terhadap tenaga hijau dengan melancarkan projek metanol hijau, selaras dengan agenda transisi tenaga global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek ini merupakan langkah strategik bagi mempercepatkan usaha Sarawak ke arah pengurangan pelepasan karbon, sekali gus mencipta sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan untuk masa depan.
“Ia akan menjadi satu bahan untuk industri perkapalan, bermakna segala kemudahan untuk pembangunan projek tersebut akan dibangunkan di kawasan Kompleks Metanol Sarawak Petchem,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sarawak Eksport Metanol Petchem dan Majlis Pecah Tanah Projek Metanol Hijau di Kompleks Metanol Sarawak Petchem di sini, hari ini.
Beliau juga menekankan bahawa metanol hijau berpotensi besar untuk menjadi bahan utama bagi pelbagai sektor, termasuk industri perkapalan.
Dengan pelancaran projek metanol hijau ini, Sarawak sekali lagi menunjukkan komitmennya untuk menjadi peneraju dalam tenaga bersih.
“Bagi kita di Sarawak kita memainkan peranan yang cukup penting dalam kita membantu Malaysia dari sudut tenaga hijau,” katanya. – TVS