KUCHING, 14 Jan: Sarawak kini menjalin kerjasama dengan syarikat Jepun, HighChem, untuk menghasilkan tekstil berasaskan gas bagi kegunaan angkasawan, menggunakan teknologi rendah karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tekstil itu dihasilkan melalui proses inovatif yang sesuai untuk keperluan angkasawan.
“Kami bekerjasama dengan HighChem di Tokyo bagi menghasilkan bahan kimia rendah karbon untuk tekstil angkasawan. Mungkin nanti kita dapat melihat fabrik yang digunakan oleh angkasawan dengan jenama ‘Made in Sarawak’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Townhall Lapan Tahun Bersama Yang Amat Berhormat Premier Sarawak 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, malam tadi.
Sesi dialog itu dikendalikan oleh Profesor Datuk Dr Siva Pandian, Dr Aila Abdul Latif dan Sayed Munawar.
Selain itu, Abang Johari turut menekankan potensi Sarawak dalam menerokai sektor ekonomi angkasa, memanfaatkan kedudukannya berhampiran garisan Khatulistiwa.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan menyokong dan mempertimbangkan Sarawak sebagai tapak pelancaran satelit kerana lokasinya yang strategik dan ideal.
“Banyak satelit di orbit kini dimiliki pelbagai negara dan data daripada satelit ini digunakan untuk pelbagai tujuan serta dipancarkan kepada pengguna,” katanya.