Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah hadir merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di ibu negara hari ini. Foto Amiruddin (TVS)

Perkukuh kesedaran keselamatan jalan raya menerusi kempen berterusan – Hasbi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya perlu diperkukuhkan melalui pendidikan dan kempen secara berterusan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata penganjuran kempen yang melibatkan kerjasama strategik antara pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh menjadi inisiatif penting dalam membina budaya keselamatan jalan raya di negara ini.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat.

“Program seperti ini dapat membantu menyelamatkan nyawa dan membina budaya keselamatan yang kukuh dalam kalangan rakyat,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2025, di sini hari ini.

Statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 5,939 kematian akibat nahas jalan raya telah dicatatkan daripada keseluruhan 585,729 kemalangan setakat November lepas.

Daripada jumlah itu, 67 peratus atau 4,014 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan mangsa dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun telah menjadi penyumbang utama.

Menyentuh kemalangan jalan raya melibatkan golongan muda termasuk pelajar, Hasbi berkata insiden seumpamanya bukan hanya menyayat hati, tetapi juga satu kerugian kerana golongan itu merupakan aset penting kepada masa depan negara.

Beliau berkata justeru, ibu bapa, guru dan masyarakat perlu mendidik pelajar mengutamakan keselamatan dengan menekankan kepentingan penggunaan topi keledar dan jaket keselamatan yang diluluskan serta memastikan motosikal dalam keadaan baik.

Sementara itu, Suzuki Malaysia Sdn Bhd dan Persatuan Penjual Motosikal & Skuter Malaysia selaku penganjur kempen keselamatan jalan raya berkenaan menawarkan pemeriksaan motosikal percuma kepada pengunjung.

Pengarah Suzuki Malaysia Datuk Jeffrey Lim Chee Sing berkata pemeriksaan itu merangkumi 16 perkara kritikal seperti lampu isyarat, tayar dan lampu brek.

“Langkah asas seperti ini sering diabaikan, tetapi boleh memainkan peranan besar dalam mengurangkan kemalangan,” katanya.

Kempen Keselamatan Jalan Raya 2025 bertema ‘Kongsi Jalan Raya, Tunggang Berhemah’, yang berlangsung di Dataran Ilmu, Stadium Selayang itu turut menawarkan penukaran topi keledar baharu, pemberian topi keledar kanak-kanak serta pameran motosikal dan aksesori keselamatan kepada pengunjung. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan