KUCHING, 14 Jan: Sarawak disarankan agar memantapkanĀ ekonomi bakat dalam pelbagai sektor selain industri pelancongan dan hiburan.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perniagaan Universiti Teknologi Malaysia (UNIMAS), Dr Dzul Hazwan Husaini berpendapat, inisiatif sedemikian menekankan pembangunan bakat ekonomi berpendapatan tinggi bagi merealisasikan hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan wilayahnya sebagai “Norway of the East”.
“Sarawak harus mencontohi Norway di mana negara itu membangunkan sektor ekonomi bukan setakat sektor tenaga tetapi juga sektor ekonomi secara keseluruhan yang berasaskan bakat.
“Ini meletakkan Norway ke depan jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah yang lain.
“Bakat ini akan memberi nilai tambah yang berganda terhadap sesuatu nilai ekonomi di sesebuah negara,” katanyaĀ ketika dihubungi TVS, hari ini.
Selain Norway katanya, dengan populasi kira-kira tiga juta penduduk, Sarawak juga wajar mencontohi model negara kecil seperti Singapura yang berjaya menguruskan ekonomi dengan berjaya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan (Pengurusan) UNIMAS, Dr Aila Abdul Latif pula menyifatkan strategi pembangunan yang diilhamkanĀ oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memiliki potensi tinggi.
“Potensi masa depan bagi bandar-bandar yang telah maju itu diteliti kriterianya dengan Sarawak, bukan semata-mata kriteria tapi juga persamaan dari segi inisiatif.
“Misalnya, yang berkaitan dengan tenaga hijau dan kelestarian teknologi yang digunakan mereka begitu juga dengan strategi inovasi ataupun pendekatan pengurusan yang mereka buat.
“Saya kira bukanlah semua orang boleh melakukannya tanpa ilmu dan tanpa perancangan yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, dari segi pembangunan inklusif, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga mempertimbangkan keterlibatan pelbagai pihak berkepentingan bagi merealisasikan aspirasi beliau bagi membolehkan Sarawak mampu berdaya saing dan lestari pada masa akan datang. – TVS