PETALING JAYA, 14 Jan: Penguatkuasaan perlindungan harta intelek yang kukuh mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan asing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerangka perundangan harta intelek yang komprehensif akan melindungi hak dan kepentingan industri terlibat serta mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif buat bakal pelabur.
“Syarikat asing yang ingin melabur akan melihat sama ada perniagaan dan harta intelek mereka akan dapat dilindungi melalui komitmen kerangka perundangan dan strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Libat Urus Perlindungan Harta Intelek Digital di Malaysia di Menara MyIPO di sini, hari ini.
Sementara itu, Armizan berkata perlindungan harta intelek juga memainkan peranan dalam mendepani cabaran dan tuntutan landskap digital yang mencabar.
Jelasnya, penguatkuasaan ini merangkumi usaha menangani isu yang lebih besar melibatkan pelanggaran hak cipta, keselamatan pengguna dan kemudaratan infrastruktur serta aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.
Tambah Armizan, KPDN sebelum ini telah mengadakan kerjasama menerusi penguatkuasaan Akta Hak Cipta bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi penyingkiran kandungan dan penyekatan laman. – TVS.