KUCHING, 13 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpendapat kesinambungan inisiatif yang dilaksanakannya ketika ini dapat diteruskan sekiranya pemimpin akan datang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi.
Beliau berkata, seseorang pemimpin mesti melengkapi diri dengan ilmu baharu yang sesuai dengan perubahan semasa.
“Dalam kita meneruskan usaha ini, kita mesti mengambil kira persekitaran mengikut pertukaran zaman. Seperti sekarang peralihan tenaga yang menjadikan saya dan rakan-rakan dalam kabinet mencari dasar yang dapat memberi sumbangan dalam transisi tenaga ini.
“Semasa saya menjadi Ketua Menteri dahulu, perkara pertama yang saya perkenalkan ialah ekonomi digital. Jadi semasa COVID-19 saya lihat orang-orang tua sudah pandai menggunakan talian untuk urusan jual beli
“Disebabkan keadaan tersebut, orang ramai mula belajar untuk berurusan secara dalam talian.
“Sebab itu saya salurkan SKAS (Sumbangan Keperluan Asas Sarawak) menerusi SPAY Global. Bagi mereka yang tak pandai kita akan ajar dan kalau liputan Internet tidak baik, kita akan tingkatkan.
“Akhirnya impian saya tercapai melihat orang Sarawak mula mahir menggunakan teknologi digital dalam kehidupan harian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian pada sesi Townhall Lapan Tahun Premier Sarawak.
Dr Sivamurugan bertanya mengenai apakah perancangan yang sudah dirangka oleh Premier Sarawak supaya inisiatifnya ketika ini akan menjadi satu kesinambungan kelak.
Menurutnya, perkara itulah yang harus diadaptasi oleh pemimpin seterusnya kelak yang bertanggungjawab meneruskan legasi kerajaan terkini demi kesinambungan inisiatif yang dilaksanakan sekarang ini.-TVS