KUALA LUMPUR, 14 Jan: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti kesesuaian penggunaan sistem kawalan had laju, ‘Traject Control’ bagi memastikan pemandu mematuhi had kelajuan di jalan raya.
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata sistem tersebut berfungsi mengukur purata kelajuan pemanduan dengan mengambil kira data daripada dua titik.
Katanya, sistem tersebut dirangka dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini juga satu usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang mengerikan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di sini, hari ini.
Hasbi berkata sistem ‘Trajectory Control’ ini juga digunakan di negara-negara lain.
Jelas beliau, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diguna pakai ketika ini mempunyai beberapa kekangan.
“(Ini termasuk ada) pemandu bertindak memandu melebihi had laju setelah melepasi kamera AES,” katanya.
Sementara itu, mengenai inisiatif lain bagi mengurangkan kemalangan jalan raya, Hasbi berkata kehadiran penguatkuasa di jalan raya semasa musim perayaan juga memainkan peranan penting.
“Mungkin kalau (inisiatif) ini dapat diamalkan akan memberi impak kepada pemanduan laju kerana mereka tentunya akan memperlahan kenderaan dengan kehadiran penguatkuasa di jalan raya,” katanya.
Jelas Hasbi, trend kemalangan jalan raya menunjukkan peningkatan pada November 2024 iait 5,939 dengan 4,014 kematian melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng. – TVS