MIRI, 14 Jan: Penerbangan sulung Batik Air dari Kuala Lumpur ke Miri menandakan langkah penting dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan bandaraya ini.
Penumpang pertama penerbangan tersebut yang berasal dari Melaka, Goh Hock Gin menyatakan keyakinannya terhadap potensi Miri sebagai destinasi pelancongan utama di Sarawak terutamanya dengan kemudahan sambungan penerbangan yang lebih baik.
“Miri sebenarnya terkenal sebagai bandar minyak dan lebih cenderung kepada pelancongan perniagaan. Namun, saya berharap sambungan penerbangan baharu ini dapat memudahkan akses ke destinasi pelancongan seperti tapak warisan UNESCO iaitu Gua Mulu dan Gua Niah,” katanya kepada TVS ketika ditemui di Lapangan Terbang Miri hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap keindahan semula jadi dan keramahan penduduk Sarawak.
“Sarawak sangat mesra dan kaya dengan kehijauan. Udara di sini sangat segar dan berbeza. Sudah agak lama saya tidak ke Miri kerana kebanyakan masa saya berada di Kuching. Tetapi dengan adanya penerbangan Batik Air ini, saya percaya lebih banyak pelancong akan tertarik untuk melawat lokasi-lokasi ikonik seperti Gua Mulu dan Gua Niah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hock Gin menyatakan kepuasan terhadap perkhidmatan penerbangan yang diterimanya.
“Penerbangan pagi ini berjalan dengan lancar dan tepat pada waktunya. Ia memberikan pengalaman yang sangat memuaskan, terutama sekali sebagai penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Miri. Kami sangat bersyukur dapat tiba dengan selamat,” ujarnya. – TVS