KUCHING, 14 Jan: Sarawak bakal memainkan peranan penting dan menjadi pemacu besar dalam usaha Malaysia dan Jepun membangunkan tenaga hijau menerusi pengeluaran ammonia menggunakan hidrogen sebagai bahan mentah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif strategik ini dijangka dimuktamadkan melalui memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada Mei tahun ini.
“Perdana Menteri Jepun telah meminta Sarawak untuk bekerjasama mengeluarkan ammonia menggunakan ‘feedstock’ (bahan mentah) hidrogen.
“Kita (Sarawak), akan memainkan peranan penting bagi pihak Malaysia” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Townhall Lapan Tahun Bersama YAB Premier di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, malam tadi.
Tambah Abang Johari, baru-baru ini beliau bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Jepun merancang projek berskala besar untuk mengeluarkan hidrogen.
“Kita akan mengeluarkan hidrogen menggunakan proses Methyl Cyclohexane (MCH) untuk mengeluarkan tenaga.
“Hidrogen dicampur dengan karbon akan mengeluarkan gas sintetik yang akan menjadi tenaga baharu” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, memaklumkan bahawa inisiatif tersebut akan melibatkan kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petronas. – TVS