KUALA LUMPUR, 14 Jan: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang memperhalusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) sebelum dibawa ke Kabinet.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata memorandum tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Jelas beliau, pihaknya tidak mahu mengambil tindakan tergesa-gesa untuk melaksanakan sistem itu.
“Satu kertas kabinet akan diangkat untuk memutuskan kaedah melaksanakan MLFF nanti. Ada beberapa peringkat (pelaksanaan),” katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata MJM mengenai hala tuju pelaksanaan sistem MLFF ke Kabinet pada Januari ini.
Ahmad dilaporkan berkata langkah itu diambil susulan KKR sudah mengeluarkan surat kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terbabit dalam projek MLFF bahawa rundingan terbabit tidak akan diteruskan. – TVS