KUCHING, 14 Jan: Polis mengesahkan seorang lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan Jalan Stutong di sini tengah hari tadi, meninggal dunia menjadikan jumlah mangsa yang maut akibat tragedi itu kepada lima orang.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata korban terbaharu merupakan lelaki tempatan berumur 16 tahun yang disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Umum Sarawak.
Empat maut, lima cedera dalam kemalangan di Jalan Stutong Baru
Menurutnya, siasatan awal kemalangan tragis di Jalan Stutong di sini tengah hari tadi berpunca daripada sebuah kereta dari arah Jalan Lapangan Terbang menuju ke arah Jalan Setia Raja telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke arah jalan bertentangan.
“Kereta itu kemudiannya merempuh dua buah motosikal dan dua buah kereta yang melalui jalan terbabit.
“Akibat kemalangan tersebut empat mangsa (tiga lelaki dan seorang perempuan) warga tempatan berumur dalam lingkungan 16 tahun hingga 45 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.
Sementara itu katanya tiga mangsa yang mengalami kecederaan masih menerima rawatan di unit kecemasan.
“Pemandu kereta yang terbabas itu pula telah mengalami kecederaan di leher akan ditahan setelah mendapatkan rawatan hospital yang sama,” ujarnya.
Menurutnya kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menyeru agar mana – mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik ASP Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082- 259900 atau mana – mana balai polis yang berhampiran.
Beliau turut menegaskan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan berhati-hati semasa memandu supaya tidak membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.