KANOWIT, 14 Jan: Jasad pekerja syarikat swasta yang lemas ketika berenang menyeberangi sungai mahu balik ke rumah sewa untuk makan tengah hari di Rumah Panjang Manggin Nanga Buan, Ngemah di sini semalam, ditemui hari ini.
Komander Operasi, Norman Matu berkata, jasad Mohamad Hamizan Reduan berusia 25 tahun dijumpai
Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Bomba pada selaman yang keenam pada jarak tiga meter dari lokasi kali terakhir dilihat tenggelam pada jam 11.34 pagi tadi.
“Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua Pasukan PPDA diketuai PBK II Terance bersama – sama tujuh orang anggota terus bertindak melakukan kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Buan.
“Mereka melakukan enam kali selaman pada kedalaman lima meter di lokasi kali terakhir mangsa dilihat tenggelam, di tengah-tengah sungai dan radius pencarian dalam lingkungan sembilan meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jasad mangsa dibawa naik ke darat untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan pada jam 12.10 tengah hari.
Dalam kejadian semalam, mangsa lemas ketika sedang dalam perjalanan balik ke rumah sewa untuk makan tengah hari di seberang sungai dengan cara berenang ke seberang.
Ketika berada di tengah-tengah sungai mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan dan tenggelam, ketika kejadian paras air sungai adalah tinggi.-TVS