KUALA LUMPUR, 14 Jan: Bank Rakyat memperkenalkan teman digital (AI Influencer) pertama, Balqis sebagai sebahagian daripada strategi transformasi digitalnya dalam sektor perbankan di Malaysia.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, perkhidmatan inovatif ini bertujuan meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan nasihat kewangan yang diperibadikan melalui teknologi AI.
Menurutnya, inovasi baharu ini mencerminkan komitmen Bank Rakyat untuk mempercepatkan sistem automasi perkhidmatan dan mempertingkatkan kecekapan operasi.
“Balqis bakal menjadi rakan perbankan yang sentiasa dekat di hati para pelanggan, dengan berkongsi tips dan info perbankan melalui pendekatan yang lebih mesra pelanggan dan mudah difahami.
“Balqis direka untuk menyesuaikan keperluan unik pelanggan dengan menyediakan cadangan dan nasihat kewangan yang diperibadikan berdasarkan penggunaan perkhidmatan dan produk perbankan kami seperti Kad Kredit-i, Akaun Simpanan-i, produk pembiayaan, pelaburan serta perbankan Internet iRakyat,” menurut kenyataan terbabit.
Tambah Bank Rakyat, teknologi AI membolehkan maklumat perbankan disampaikan dengan lebih efektif kepada sasaran pelanggan yang lebih luas, menerusi mod komunikasi yang disesuaikan khusus mengikut keperluan dan pemahaman setiap pelanggan tanpa batasan.
Insiatif berkenaan katanya adalah sebahagian daripada komitmen Bank Rakyat untuk memenuhi keperluan kewangan pelanggan kami yang terdiri daripada pelbagai segmen masyarakat.
“Bank Rakyat sentiasa berusaha memastikan bahawa pengalaman perbankan pelanggan kekal relevan dan mesra pengguna untuk setiap peringkat komuniti.
“Menelusuri 70 tahun penubuhan Bank Rakyat, Balqis merupakan langkah penting dalam perjalanan kami ke arah transformasi digital, menandakan era baharu dalam perbankan pintar,” ujar kenyataan itu. – TVS