KANOWIT, 15 Jan: Sebanyak 40 penduduk terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang melanda kawasan ini sejak beberapa hari lalu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan setakat 8 pagi ini, seramai 20 mangsa ditempatkan ke Dewan Serbaguna Nanga Ngungun, manakala Kompleks Sukan Kanowit turut menempatkan 20 lagi mangsa.
Kedua-dua PPS tersebut mula beroperasi pada hari Ahad dan Isnin untuk memastikan keselamatan penduduk yang terjejas.
“Pihak berkuasa terus memantau keadaan banjir di kawasan ini, dan tindakan sewajarnya akan diambil untuk membantu mereka yang terkesan,” kata JPBNS menerusi kenyataan, hari ini.
Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko diminta sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.