KUALA LUMPUR, 13 Jan: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak akan bekompromi terhadap perbuatan rasuah yang melibatkan anggota agensi di bawahnya dalam soal penguatkuasaan undang-undang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ini turut melibatkan laporan wujudnya sindiket penjualan pelekat khas digunakan oleh lori untuk melepasi pemeriksaan pihak berkuasa.
Jelas beliau MOT yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai unit perisikan sendiri dan sentiasa membuat perisikan dengan kerjasama SPRM.
“Sekiranya wujud isu integriti, ia mesti diambil tindakan oleh SPRM, tetapi kita (MOT) boleh buat siasatan awal terlebih dahulu dan apabila mendapat bukti kukuh kita akan terus memaklumkan kepada SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Pelancaran Theatre Logtech di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke mengakui cabaran terbesar yang dihadapi kementeriannya adalah berkait integriti dalam menjalankan penguatkuasaan.
“Kita menyedari ada pihak di luar sana cuba mencari ruang bagaimana untuk mengelak daripada unsur-unsur penguatkuasaan, kita sentiasa menghadapi cabaran itu.
“MOT perlu melihat kepada pendekatan yang berlainan, itu sebabnya penggunaan teknologi penting kerana ia membolehkan kita memperketatkan lagi penguatkuasaan seperti memantau kenderaan membawa lebih muatan,” katanya.
Hari ini, sebuah portal berita tempatan mendedahkan sindiket tersebut yang dipercayai didalangi dalam kalangan penguatkuasa sendiri meraih keuntungan luar biasa mencecah RM10,000 untuk setiap pengusaha lori. – TVS