KUCHING, 13 Jan: Sarawak bakal melancarkan sistem pengurusan impak pintar pertama di dunia yang dipanggil sebagai AI.LEGACY bertujuan memantau, mengukur dan melaporkan warisan acara perniagaan untuk masa depan yang lebih mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sistem ini bakal menjadi penanda aras dalam pengurusan warisan acara dan membuka peluang untuk mencipta perubahan yang bermakna bagi industri perniagaan.
“AI.LEGACY adalah satu langkah berani untuk menuju masa depan. Seperti yang kita fahami, sistem pengurusan impak pintar untuk acara perniagaan ini adalah yang pertama di dunia.
“Selain itu, sistem ini (AI.LEGACY) menjadi alat yang berpandangan jauh yang menetapkan penanda aras baharu untuk bagaimana hasil warisan dapat dinilai, dioptimumkan dan dikomunikasikan.
“Ia bukan sahaja pencapaian teknologi ia adalah inisiatif visi yang membolehkan semua pihak memacu impak bersama-sama, termasuk persatuan, perancang acara, pemain industri, pembuat dasar, dan pelbagai pihak berkepentingan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Pratonton LEGACY360 di Kuching di sini, hari ini.
Sistem yang dibangunkan melalui kerjasama antara BESarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini membantu perancang acara mencipta hasil yang nyata dan terukur serta memberi pendekatan revolusioner terhadap pengurusan warisan.
Tambah Abang Johari, sistem ini diselaraskan dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menyokong pembangunan mampan dan kemajuan ekonomi.
“Ia adalah teknologi yang boleh menunjukkan kemajuan dan potensi sebenar acara perniagaan dalam menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), Matlamat Pembangunan Mampan PBB, dan agenda ESG utama lain,” tambahnya.-TVS