Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025 semasa sesi perjumpaan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah pada Ahad. Foto Bernama

Persediaan pelaksanaan PLKN 3.0 pada tahap terbaik – Mohamed Khaled

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Jan: Persediaan kerajaan dalam melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bermula hari ini adalah pada tahap terbaik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata persediaan termasuk dari segi penginapan, kesihatan dan makanan yang disediakan kepada pelatih itu adalah bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar.

“Program hari ini adalah program perintis dan akan ada lagi dua siri latihan PLKN pada tahun ini dan kita akan meneliti perjalanan kesemua siri latihan ini dan akan melakukan penambahbaikan jika terdapat sebarang kekurangan,” katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersama pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini malam tadi.

Pagi tadi seramai 120 pelatih sukarela dari seluruh negara melapor diri di kem berkenaan bagi mengikuti PLKN 3.0 yang bermula secara rasmi hari ini selepas tujuh tahun dimansuhkan.

Pelaksanaan semula program itu yang dijalankan secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda di Malaysia selain melengkapkan mereka dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup menerusi pengalaman latihan fizikal dan mental.

Sementara itu, Mohamed Khaled mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang hadir secara sukarela bagi menjalani program berkenaan.

Beliau berkata selain menanam semangat patriotisme, PLKN 3.0 juga berperanan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta.

“Negara kita merupakan sebuah negara majmuk, kekuatan negara hanya boleh datang sekiranya (rakyatnya) sama-sama mempunyai semangat hormat-menghormati, toleransi menerima antara satu sama lain, seperti apa yang Perdana Menteri kata bukan saja soal kenal tetapi sayang dan cinta antara satu kaum dengan kaum yang lain, maka hanya dengan demikian baru negara kita kuat,” katanya dalam ucapan.

Beliau kemudian turut meninjau dewan makan dan penginapan peserta. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan