KUCHING, 13 Jan: Rundingan antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) selesai dan majlis menandatangani perjanjian jual beli dijangka pada Februari depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perjanjian mengenai pengambilalihan aset melibatkan kedua-dua pihak bakal ditentukan dalam masa terdekat.
“Apa yang dapat saya kongsikan hari ini ialah MASwings beres (selesai).
“Maksudnya, kita mengambil alih dan tidak lama lagi akan ada perjanjian dalam masa satu bulan lagi dan dijangka akan diselesaikan sebelum bulan puasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat 2025 Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Mengenai nama baharu atau rasmi selepas pengambilalihan, Abang Johari menjelaskan, beliau akan memaklumkan mengenai perkara tersebut selepas menandatangani perjanjian pengambilalihan aset melibatkan kedua-dua pihak.
“Kita akan umumkan selepas selesai menandatangani perjanjian kelak.
“Majlis menandatangani perjanjian tersebut akan dibuat di Kuching,” ujarnya.
Terdahulu, Abang Johari mengumumkan apabila MASwings dimiliki Sarawak, ia tidak hanya akan menyediakan penerbangan antara wilayah Sarawak dan Sabah sebaliknya turut menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa destinasi seperti Korea Selatan , Jepun, Hong Kong, Bangkok, Jakarta dan Frankfurt di Jerman. – TVS