SIBU, 13 Jan: Tujuh pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihantar ke sekolah menggunakan lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berikutan jalan ke sekolah dinaiki air hari ini.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata pelajar terbabit dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kwong Hua, Sungai Bidut, Sibu pada 7 pagi.
Turut dihantar ke pusat peperiksaan termasuk dua guru dan tiga pengawas peperiksaan.
“Penghantaran berjalan dengan lancar dan kesemua Guru dan murid selamat sampai di sekolah pada 7.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Agensi lain yang terlibat dalam operasi penghantaran ini adalah Angkatan Tentera Malaysia dan Pejabat Pendidikan Sibu.