KANOWIT, 13 Jan: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika berenang menyeberangi sungai mahu balik ke rumah sewa untuk makan tengah hari di Rumah Panjang Manggin Nanga Buan, Ngemah di sini, hari ini.
Komander Operasi, Unjah Janggau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 1.50 tengah hari dengan menggerakkan 11 anggota dengan dua bot penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit ke lokasi kejadian.
“Mangsa Mohamad Hamizan Reduan,25, dipercayai lemas ketika sedang dalam perjalanan balik ke rumah sewa untuk makan tengah hari di seberang sungai dengan cara berenang ke seberang.
“Ketika berada di tengah-tengah sungai mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan dan tenggelam, ketika kejadian paras air sungai adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergerak ke lokasi kejadian yang jaraknya 45 kilometer ke Pasar Ngemah menggunakan kenderaan utiliti dan dua bot penyelamat pada jam 1.51 tengah hari.
“Perjalanan ke lokasi mangsa diteruskan dari Pasar Ngemah menggunakan bot melalui sungai, setakat ini mangsa masih belum dijumpai,” ujarnya. -TVS