KUCHING, 13 Jan: Kecemerlangan lapan tahun kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, disimpulkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, menerusi lima perkara utama.
Abdullah berkata, perlu diingati bahawa selepas mengambil alih kepimpinan Sarawak pada tahun 2017, Abang Johari telah berhadapan dengan dua cabaran besar, iaitu kejatuhan gabungan Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Umum 2018 serta penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat dan ekonomi Sarawak.
“Kebijaksanaan dan tindakan Premier Abang Johari untuk menangani dua cabaran utama ini adalah asas kepada ringkasan pencapaian terbaik beliau dalam tempoh lapan tahun,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejayaan pemerintahan Premier Sarawak.
Menurut Abdullah, dalam konteks politik, Premier Abang Johari dengan keyakinan yang tinggi telah memimpin empat parti politik utama kelahiran Sarawak keluar dari BN dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Dalam tempoh tiga tahun selepas penubuhan GPS, beliau berjaya menyatu dan meyakinkan kepimpinan serta warga GPS untuk memahami falsafah dan hala tuju politik di bawah kepimpinannya melalui slogan ‘Sarawak First’,” jelasnya.
Kejayaan ini dibuktikan melalui kemenangan besar GPS dalam Pilihan Raya Negeri 2021.
Di bawah kepimpinan Premier Abang Johari, beliau telah memperkenalkan beberapa agenda pemulihan ekonomi dan usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Sarawak.
Pelaksanaan Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, dasar ekonomi digital, dan penerokaan beberapa pelaburan ekonomi baharu telah membolehkan Sarawak menyediakan belanjawan lebihan terbesar dalam sejarah Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM15.8 bilion untuk tahun 2025.
Tahap komitmen dan kesungguhan Premier Abang Johari amat ketara melalui pelaksanaan pembangunan infrastruktur luar bandar dan polisi kebajikan masyarakat yang bersifat inklusif.
Premier turut mempamerkan dedikasi yang serius terhadap amalan ekonomi dan industri globalisasi yang baharu, teknologi tenaga hijau terkini, dan polisi penjagaan alam sekitar yang lestari.
Akhir sekali, antara misi dan visi utama Premier Abang Johari adalah untuk membina modal insan berkualiti dalam kalangan generasi muda Sarawak. Ini termasuk usaha menjadikan mereka lebih berpendidikan tinggi, berkemahiran, inovatif, dan berdaya saing.
“Dasar pendidikan beliau yang ikhlas dan inklusif terbukti melalui pengenalan silibus sekolah antarabangsa, bantuan kewangan kepada pelajar Sarawak, pendidikan tinggi percuma, dan pelbagai jenis biasiswa,” katanya.