KUCHING, 13 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhasrat menjadikan Sarawak sebagai Norway of the East.
Beliau berkata, Sarawak menjadikan beberapa negara Scandinavia seperti Norway, Finland, Sweden dan Denmark sebagai model untuk pembangunan khususnya dari sudut aspek ekonomi dan pembangunan sumber.
“Kita lihat negara yang mempunyai persamaan dari sudut sumber, sains dan populasi. Maka kita belajar dari negara (Scandinavia) tersebut.
“Saya kaji apa yang boleh kita majukan kerana Norway terletak di utara laut (North Sea) dan kekuatannya minyak dan gas sama seperti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Pensyarah UNIMAS Dr Aila Abd Latiff semasa sesi Townhall Lapan Tahun Bersama Premier Sarawak.
Dr Aila bertanya apakah faktor yang menjadi penentu Premier optimis dan berani melaksanakan langkah-langkah pembangunan Sarawak seperti ketika ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut memaklumkan beliau turut mengkaji persamaan Norway dengan Sarawak dari sudut populasi.
“Kalau kita kaji populasi mereka lebih kurang lima juta manakala kita pula lebih kurang tiga juta. Selain kekuatan minyak dan gas Norway turut mempunyai rakyat yang pakar dan mahir dalam bidang tersebut.
“Saya lihat Norway tidak terjejas sekiranya terdapat sebarang masalah di Eropah kerana mereka dapat mengurus ekonomi mereka sendiri. Mereka juga ada tenaga bersih. Sebab itu saya merancang jadikan Sarawak sebagai ‘Norway of the East’,” ujarnya.
Tambahnya, Sarawak akan terus menggunakan segala peruntukan yang termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan Malaysia dan Sarawak untuk menambah pendapatan.
“Pendapatan ini kita suntik balik kepada pembangunan Sarawak. Sebab itu kita giat menyediakan bekalan air, eletrik dan membina jambatan, jalan raya agar ini akan menjadi platform untuk kita melangkah lebih jauh,” katanya. -TVS