Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu bersama pegawai menunjukkan barangan rampasan sindiket disyaki menjalankan aktiviti penipuan atas talian dengan menyamar sebagai Pegawai Polis dan Pegawai Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Miri. Foto IPD MIri

Sindiket menyamar sebagai Pegawai Polis, Pegawai NSRC di Miri akhirnya tumpas

MIRI, 12 Jan: Selepas dua bulan beroperasi sindiket disyaki menjalankan aktiviti penipuan atas talian dengan menyamar sebagai Pegawai Polis dan Pegawai Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akhirnya tumpas dengan penangkapan sembilan individu dalam operasi khas pihak polis di sebuah rumah Taman Bayshore Jalan Pantai Miri di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, sembilan individu terdiri daripada lapan lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia 22 hingga 38 tahun ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Miri pada jam 3 petang.

“Dalam operasi ini kita merampas dua unit komputer riba pelbagai jenama, tujuh set dokumen butir-butir mangsa yang berusia 20 hingga 50 tahun, satu set skrip mengandungi ayat yang perlu disebut oleh suspek yang menyamar sebagai Pegawai Polis dan Pegawai NSRC, tiga unit buku nota, seunit ipad, seunit tablet dan dua pasport yang dimiliki suspek.

“Anggaran nilai rampasan bagi kes ini adalah berjumlah lebih kurang RM30,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, Alexson memberitahu, siasatan awal mendapati sindiket ini mula menjalankan kegiatan mereka sejak bulan November 2024.

“Kesemua suspek mendapat pekerjaan ini daripada tawaran pekerjaan dalam facebook yang menawarkan pekerjaan sebagai operator dengan gaji RM2,000 sebulan dan tiket penerbangan ke lokasi tempat bekerja.

“Mereka direkrut dengan diberikan skrip untuk dihafal dan diajar cara untuk memperdaya mangsa hingga harta diserahkan oleh mangsa,” ujarnya.

Katanya, modus operandi suspek ialah menggunakan sebuah rumah untuk menjalankan aktiviti menyamar sebagai Pegawai Polis dan NSRC untuk memperdaya mangsa hingga wang diserahkan.

“Kesemua suspek direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 11 Januari lalu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420/120b Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebat juga denda jika disabit kesalahan bagi Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegasnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan