MIRI, 12 Jan: Bandar raya Miri mencipta rekod dunia Guinnes baharu dengan pengumpulan sebanyak 3,751.8 kilogram (kg) EcoBricks.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen Miri terhadap alam sekitar dan kemampanan di peringkat global.
“Sudah tiba masanya untuk kita mengambil tindakan yang berani dan tegas untuk melindungi Bandar raya Miri. Kita sudah melihat kesan positif projek EcoBrick iaitu satu inisiatif yang bertujuan untuk mengubah plastik sekali guna tidak boleh dikitar semula kepada bahan binaan.
“Pada dua tahun lalu, Persatuan Peniaga Sekendhend dan Kitar Semula Miri menganjurkan program yang berjaya menarik 26 organisasi dan lebih 9,000 peserta dan menghasilkan 11,464 EcoBrick yang berjaya memecahkan rekod.
“Pencapaian ini dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records dan yang lebih penting membuktikan bahawa tindakan kolektif boleh mencipta perubahan berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Projek Mengumpul EcoBrick di sini, hari ini.
Pada masa sama Kim Shin gembira dengan penyertaan daripada semua pihak termasuk sekolah, agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), organisasi korporat dan sebagainya.
Kejayaan mengumpul EcoBrick paling banyak iaitu sebanyak 16,524 dalam masa 24 jam sehingga mencatatkan rekod dunia diumumkan oleh Pengadil Rekod Dunia Guinness Tomomi Sekioka yang menyerahkan sijil kepada Persatuan Peniaga Sekendhend dan Kitar Semula Miri.
EcoBrick merupakan botol plastik yang diisi dengan plastik tertentu yang tidak dapat dikitar semula dan ia disusun untuk membentuk ayat The Green Wall Of Miri Cintai Bumi Kenyalang di Stadium Miri.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar Miri Adam Yii.-TVS