Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat malam ini berbanding petang tadi manakala di Perak kekal. Foto Bernama

Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat malam ini

ByBernama

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat malam ini berbanding petang tadi manakala di Perak kekal.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,869 orang setakat 8 malam ini berbanding 3,779 orang yang direkodkan petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,093 keluarga itu ditempatkan di 37 PPS di lima daerah yang terjejas.

“Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,262 mangsa, diikuti Johor Bahru (774), Kulai (735), Pontian (568) dan Kluang (530).

“Selain itu, hanya stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melebihi paras bahaya dengan bacaan 15.62 meter (m) (trend menurun),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azmi berkata Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.

Beliau berkata Johor Bahru, Mersing, Pontian dan Kota Tinggi diramalkan hujan pada malam ini manakala enam daerah lain di negeri itu diramal mendung.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Manjung kekal 31 orang daripada sembilan keluarga dan kesemua mangsa itu ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas sejak Khamis lepas.

“Kesemua mangsa penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga iaitu 165.43m berbanding paras normal 165.10m. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan