MIRI, 12 Jan: Pihak polis memberkas dua suspek lelaki yang disyaki merekrut orang ramai untuk dijadikan sebagai ‘keldai akaun’ dalam operasi khas di kawasan Jalan Pujut-Miri di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 34 dan 46 tahun ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Miri pada jam 12 tengah hari.
“Dalam operasi ini pihak polis merampas sebuah kereta Perodua Myvi, tujuh telefon bimbit, 44 keping kad ATM pelbagai bank, 29 keping kad sim pelbagai Syarikat Telco, dua unit beg sandang dan lima keping wang tunai berjumlah RM32.
“Turut dirampas ialah buku nota yang mengandungi nombor-nombor akaun bank, anggaran nilai rampasan berjumlah RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, modus operandi suspek ialah mengedar, menjual dan membeli kad ATM dari orang ramai.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 9 Januari lalu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebatan serta denda jika disabit kesalahan,” tegasnya.
Alexson turut menasihat orang ramai agar sentiasa berwaspada dan jangan sesekali memberi kad ATM atau maklumat akaun bank kepada mana-mana pihak untuk digunakan, jangan memberikan kad ATM bagi tujuan pinjaman wang dan menggunakan akaun bank untuk membuat transaksi pindahan wang bagi pihak orang lain.-TVS