SIBU, 11 Jan: Sarawak bakal menjadi negeri pertama di dunia yang berjaya mengeluarkan gas sintetik untuk penjanaan tenaga dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Seiring dengan perubahan dunia, beliau optimis Sarawak tidak akan ketinggalan dalam penjanaan tenaga menggunakan cara baharu terbabit.
“Mengikut pakar, saya dah bincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah. Lima tahun lagi tenaga dunia akan bertukar. Tidak menggunakan minyak dan tidak menggunakan tenaga gas. Dia akan menggunakan apa disebut sebagai sintetik gas. Campuran di antara karbon dengan hidrogen hijau.
“Ia akan dicampur untuk mengeluarkan gas sintetik. Gas ini menjadi bahan untuk mengeluarkan tenaga, cara baharu dan Insya-Allah Sarawak di antara satu yang pertama dalam dunia menggunakan teknologi ini. Proses ini disebut sebagai Methylcyclohexane,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah, di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu meyakini hasrat berkenaan dapat dilaksanakan dengan kekayaan sumber semula jadi Sarawak dan ia akan menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat global.
Untuk rekod, baru-baru ini Jepun memilih Sarawak sebagai rakan kerjasama bagi menjayakan usaha penyahkarbonan dan memperkukuh keselamatan tenaga negara tersebut.
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba berkata antara sektor yang ingin direalisasikan dengan Sarawak ialah penghasilan ammonia dan penjanaan tenaga untuk menggerakkan turbin gas. – TVS