KUCHING, 11 Jan: Pihak polis menggempur sindiket pusat pengoperasian judi dalam talian (calling centre) di sebuah kediaman di Jalan Kepayang di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam operasi jam 11 malam itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menangkap seorang lelaki tempatan bersama 40 warga asing berusia 18 hingga 31 tahun.

“Kita turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam pengoperasian tersebut termasuk 19 unit komputer, 17 unit komputer riba dan 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, kesemua tahanan warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, permohonan reman ke atas lelaki tempatan telah diperoleh selama tiga hari iaitu sehingga 13 Januari ini.
“Bagi 40 orang warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah ditahan reman di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari iaitu sehingga 22 Januari ini. Kes ini masih dalam siasatan.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana telah menyalurkan maklumat sehingga sindiket pengoperasian judi dalam talian ini berjaya dibanteras,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak polis sentiasa komited untuk memastikan tindakan pembanterasan terhadap pusat pengoperasian judi dalam talian dilakukan secara berterusan. -TVS