SIBU, 11 Jan: Satu lagi projek pembangunan infrastruktur direalisasikan dengan pembinaan jalan raya baharu di Sibu yang menghubungkan Teku Pasai Siong ke Desa Kemuyang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan dan perunding teknikal, projek itu berjaya dilaksanakan menggunakan teknologi moden seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan jalan bertingkat untuk membina jalan di atas tanah gambut.
“Tanah paya pada awalnya murah untuk membina jalan, tetapi selepas tiga tahun, tanah mula mendap dan retak menyebabkan kos penyelenggaraan menjadi tinggi. Oleh itu, saya cadangkan penyelesaian baharu menggunakan jalan bertingkat (elevated roads).
“Kini, teknologi seperti Building Information Modeling (BIM) dapat digunakan dalam perancangan. Dengan BIM, kita boleh menggunakan reka bentuk 3D untuk menganalisis kos, memastikan jalan lebih kukuh dan memudahkan proses pembaikan atau pemasangan utiliti seperti elektrik dan air. Semua data disimpan dalam sistem yang teratur menjadikannya lebih mudah diakses untuk kegunaan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Teku Pasai Siong ke Kemuyang Sibu di sini, hari ini.
Menurutnya, jalan baharu itu mampu menjadi pemangkin pembangunan kawasan Kemuyang dengan memberi akses lebih mudah ke hospital, universiti dan kawasan perumahan.
Projek itu dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM89 juta dan jalan sepanjang tujuh kilometer itu dijangka memudahkan perjalanan kerana mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua kawasan dari setengah jam kepada hanya tujuh minit.
Sementara itu, Abang Johari turut menyentuh mengenai rancangan jangka panjang yang menyeluruh untuk mengatasi isu banjir di Sibu.
“Terdapat kawasan yang dirancang untuk dibangunkan sebagai sebahagian daripada pelan induk pembangunan Sibu. Perancangan ini penting untuk mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku setiap kali hujan termasuk isu air melimpah di saluran utama. Oleh itu, penyelesaian jangka panjang perlu dirangka dengan melibatkan pakar untuk merancang pembangunan semula (redevelopment) Bandar Sibu,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Aidel Lariwoo. – TVS