KUCHING, 11 Jan: Pembangunan dan pembentukan aspek rohani belia penting bagi mencapai matlamat Sarawak untuk menjadi sebuah wilayah maju serta inklusif.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemajuan sesebuah wilayah bukan sahaja diukur melalui aspek fizikal tetapi juga melalui pembangunan insan.
“Kita berazam untuk membina Sarawak yang berdaya saing, inklusif dan lestari.
“Dalam kita mengejar visi kita untuk menjadikan Sarawak terus makmur, kita mengakui bahawa belia adalah aset terbesar kita.
“Mereka adalah masa depan kita dan pembentukan serta pembangunan adalah penting bagi kemajuan wilayah kita,” katanya pada Majlis Pembukaan Sarawak Blessed Church (SBC) Sanctuary di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai.
Menurut Abang Johari, institusi keagamaan juga membantu membentuk sebuah komuniti yang beriman, bersatu padu dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Anda membentuk keperibadian mereka, membantu mereka membuat pilihan hidup yang positif dan membimbing mereka untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.
“Masyarakat kita yang berbilang etnik dan agama merupakan satu anugerah manakala organisasi seperti SBC memainkan peranan penting dalam memupuk keharmonian dan rasa hormat antara satu sama lain,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, SBC turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada 13 pertubuhan kebajikan termasuk Persatuan Orang Kurang Upaya Kuching, Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak dan Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Sarawak (SCCS).
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau dan Pastor Kanan SBC, Pastor Lim Gee Tiong. -TVS