KUALA LUMPUR, 11 Jan: Lebih 600 orang termasuk tetamu kenamaan, wakil syarikat korporat serta selebriti tempatan menghadiri ceramah keagamaan disampaikan pendakwah terkenal antarabangsa, Ismail Menk atau lebih dikenali sebagai Mufti Menk hari ini.
Majlis keilmuan anjuran Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA) itu juga bertujuan untuk menyokong usaha mengumpul dana bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
Yang Dipertua BAKASA, Datuk Indera Tun Putera Muhammad Abu Bakar Munir berkata, sumbangan yang diterima akan diagihkan kepada kumpulan sasar termasuk menyokong pendidikan golongan anak yatim.
Jelas beliau, BAKASA yang ditubuhkan sejak 20 tahun lepas membantu anak yatim sejak mereka berumur 7 tahun.
“ Ini termasuk membiayai yuran persekolahan, pengajian di universiti serta sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan media.
Pada masa sama kata beliau, BAKASA juga sentiasa peka dengan keperluan terkini bidang pendidikan untuk anak yatim supaya mereka tidak tercicir.
“Ini termasuk mendedahkan mereka kepada pengajian bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM),” katanya.
Turut hadir Penasihat Diraja BAKASA, Tengku Puteri Seri Teja Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.
Majlis diakhiri dengan solat Zohor berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Menk. – TVS.