KUALA LUMPUR, 11 Jan: Kejayaan menumbangkan PDRM FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang tadi membolehkan Kuching City FC naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan kelima Liga Super.
Petrus Shitembi membuka tirai jaringan untuk Kuching City FC selepas berjaya menyudahkan umpanan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-15.
Anak buah Aidil Sharin Sahak terus garang dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Jordan Mintah pada minit ke-88.
Jaringan Mintah itu terus menutup peluang untuk PDRM bangkit walaupun untuk meraih keputusan seri.
Dengan kemenangan itu, Kuching City FC mengumpul 21 mata selepas mengharungi 15 perlawanan.
PDRM FC turut kecundang kepada Kuching City FC 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri pada 12 Julai tahun lepas.-TVS