KUCHING, 10 Jan: Federalisme merupakan asas penting dalam pembentukan Malaysia yang menekankan keseimbangan antara keunikan negeri dan perpaduan negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata konsep ini harus dihormati dan diamalkan sepenuhnya demi memastikan keharmonian dan kemakmuran bersama.

“Federalisme bukan sekadar konsep politik, tetapi tunjang kepada pembentukan Malaysia yakni Sarawak memegang peranan penting sebagai rakan pengasas Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Gala Dinner Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 di sini, malam ini.
Beliau turut menekankan bahawa hak istimewa Sarawak, termasuk kawalan ke atas tanah, sumber asli dan kuasa perundangan tertentu, adalah elemen penting dalam melindungi autonomi negeri.
“Kuasa perundangan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan membolehkan kita melaksanakan dasar yang sejajar dengan identiti dan aspirasi rakyat negeri ini,” tambahnya.
Abang Johari menekankan tentang usaha Sarawak dalam mempelopori inisiatif tenaga hijau seperti hidrogen dan teknologi penangkapan karbon, yang menurutnya mencerminkan komitmen negeri terhadap pembangunan mampan.
“Dengan menghormati rangka kerja perlembagaan, Sarawak bukan sahaja mengukuhkan peranannya dalam Persekutuan tetapi juga menyumbang kepada kemakmuran kolektif Malaysia,” ujarnya. – TVS