KUCHING, 10 Jan: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar sebuah dokumen bersejarah tetapi ia merupakan sumber kepada tuntutan hak negeri, terutamanya Sarawak bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi sama rata.
Menurut Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Saferi Ali, pencapaian penting seperti pemindahan kuasa Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak pada 2024 telah menghidupkan kembali perbincangan mengenai kepentingan jaminan dan perlindungan yang termaktub dalam MA63.

Saferi berkata pencapaian penting itu tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan Kerajaan Persekutuan dan Pejabat Peguam Negara Persekutuan (AGC).
“Pejabat Peguam Negeri Sarawak (SAGC) tetap teguh dan komited dalam usahanya untuk melindungi hak-hak ini seperti yang digariskan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa antara kerajaan (IGC), MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Hal ini mengingatkan saya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Hj Mohd Tufail Bin Mahmud and Others v Datuk Ting Check Sii [2009] 4 MLJ 165 (FC) di mana Hakim Tun Zaki (Bekas Ketua Hakim Negara) dalam keputusannya menekankan kepentingan jaminan yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan MA63 penting dalam mendapatkan persetujuan Sarawak untuk menyertai pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), hari ini.
Jelas beliau, pengiktirafan berkenaan menggariskan kepentingan berterusan jaminan terbabit, yang terus menjadi asas dalam melindungi hak dan autonomi Sarawak.
Tambah Saferi, Sarawak turut mencatat sejarah penting dalam perjalanan transformasi tenaga bersihnya dengan pindaan kepada Ordinan Pengagihan Gas, 2016 yang kini memasukkan hidrogen sebagai gas yang dikawal selia.
Ujarnya, rangka kerja undang-undang ini bukan sahaja bertindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga hijau tetapi juga merupakan langkah proaktif untuk meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam ekonomi hidrogen.
“Penubuhan peraturan yang komprehensif menunjukkan komitmen Sarawak untuk memupuk persekitaran yang telus, mesra pelabur yang menggalakkan inovasi dan kerjasama dalam pembangunan tenaga bersih.
“Pencapaian perundangan ini lebih daripada sekadar pencapaian pengawalseliaan, ia merupakan pengisytiharan berani visi Sarawak untuk masa depan yang mampan,” tambahnya lagi.
Terdahulu kira-kira 600 pengamal undang-undang dari dalam dan luar negara, termasuk delegasi dari Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Semenanjung Malaysia menyertai Upacara Perarakan dari Mahkamah Lama ke HEEC. – TVS