KUCHING, 10 Jan: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan Unit Bahagian Perbicaraan dan Rayuan khusus bagi memperdengar rayuan jenayah di Sabah dan Sarawak.
Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menjelaskan bahawa unit baharu tersebut akan melibatkan pendakwa raya yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi.
Menurutnya, penubuhan unit itu dijangka meningkatkan kecekapan sistem rayuan jenayah di kedua-dua wilayah dengan mengambil kira pelbagai faktor penting.
“Pendakwa raya juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam pembelajaran sepanjang hayat melalui bengkel dan penerokaan teknologi baharu demi meningkatkan profesionalisme dan kecekapan mereka,” katanya.
Dalam usaha memperkasakan proses kerja, AGC turut merancang untuk melaksanakan sistem e-Daftar sepenuhnya di Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan.
“Pelaksanaan penuh sistem e-Daftar ke Sabah dan Sarawak bagi memastikan kelancaran pendaftaran kertas siasatan yang dirujuk oleh semua agensi penguatkuasaan kepada AGC,” menurutnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Dato Mohammed Hashim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; dan Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.
Menurut Dusuki, langkah ini bukan sahaja akan mempercepatkan proses kerja, malah turut meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kes.
Sebagai sebahagian daripada pelan strategik, AGC turut merancang untuk memindahkan serta menaik taraf tujuh Pejabat Pendakwa Raya Daerah di Sabah dan Sarawak, bertujuan menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan selesa untuk pegawai pendakwa raya di kedua-dua wilayah tersebut.
Ketiga-tiga perancangan itu merupakan pelan strategik untuk memperkukuhkan sistem perundangan di Sabah dan Sarawak dengan menumpukan kepada inovasi, penambahbaikan infrastruktur, dan pembangunan modal insan untuk tahun ini. – TVS