Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seramai 600 pengamal undang-undang dari dalam dan luar negara, termasuk delegasi dari Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Semenanjung Malaysia menyertai perarakan dari Mahkamah Lama ke Hikmah Exchange Event Centre (HEEC). Foto Faitullah Morni (TVS)

600 pengamal undang-undang berarak di Kuching

KUCHING, 10 Jan: Seramai 600 pengamal undang-undang dari dalam dan luar negara, termasuk delegasi dari Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Semenanjung Malaysia menyertai perarakan dari Mahkamah Lama ke Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini sempena pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 hari ini.

Perarakan itu menandakan permulaan rasmi tahun kehakiman bagi kedua-dua wilayah Malaysia Timur untuk tahun ini sekali gus bertujuan memperkukuhkan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman di negara ini.

Pengerusi Persatuan Peguambela Sarawak Bahagian Sibu, Timothy Lim Teng menyifatkan perarakan itu melambangkan kedaulatan undang-undang terus terpelihara selain menerapkan keyakinan dalam kalangan masyarakat bahawa keadilan dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Pembukaan Tahun Perundangan ini berakar umbi dari tradisi di United Kingdom yang berusia lebih daripada 100 tahun. Pada waktu itu, para hakim akan mengadakan perarakan ini dan berdoa untuk mendapatkan panduan dalam melaksanakan tugas kehakiman dengan adil dan saksama.

“Kini, walaupun aspek keagamaan itu tidak lagi diamalkan, prinsip asasnya tetap kekal, iaitu mahkamah bebas dan bertanggungjawab mentadbir kedaulatan undang-undang,” katanya ketika ditemu bual TVS di sini, hari ini.

Terdahulu, perarakan dengan jarak 1 kilometer menyaksikan para pengamal undang-undang berarak dari Kompleks Mahkamah Lama ke Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) pada pagi tadi.

Acara bersejarah itu turut disertai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan disertai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Dato Mohammed Hashim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli; Peguam Negara, Datuk Mohamad Dusuki Mokhtar; Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali; dan Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.

Sejurus perarakan, mesyuarat tahunan diadakan bagi membincangkan laporan masyarakat, perkembangan undang-undang, dan cabaran global yang semakin kompleks.

Pada masa sama, Presiden Badan Peguam dan Jabatan Peguam Negara turut membincangkan kepentingan kedaulatan undang-undang serta cabaran global dalam dunia moden.

Pembukaan Tahun Perundangan ini melambangkan komitmen bersama terhadap keadilan, kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang sejajar dengan keperluan dunia moden yang berdaya saing, kata Timothy yang juga Peguam di David Teng dan Co. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan