SIBU, 10 Jan: Seramai 56,044 orang dalam kalangan golongan sasar di seluruh negeri menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak pada tahun 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Kerajaan Sarawak telah menyalurkan lebih RM258 juta dari Januari hingga Disember lepas bagi tujuan berkenaan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan membuktikan kerajaan optimis berusaha menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada golongan sasar terbabit.
Beliau dalam pada itu turut memberitahu terdapat peningkatan terhadap kadar bantuan bagi Bantuan Warga Emas dan Bantuan Kanak-kanak yang berkuatkuasa bermula 1 Januari 2025.
“Pada tahun 2025, seramai 21,192 warga emas menerima bantuan. Bagi bantuan kanak-kanak, yang sering disebut sebagai bantuan kepada ibu atau bapa tunggal, kadar bantuan dinaikkan. Kanak-kanak berumur 7 tahun ke bawah menerima RM250 seorang (dinaikkan dari RM200), manakala yang berumur 7 tahun ke atas mendapat tambahan RM50,” katanya ketika berucap di Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Terdahulu, majlis itu menyaksikan seramai 100 orang penerima bantuan kebajikan di Sibu menerima bantuan sempena Tahun Baru Cina dengan keseluruhan bantuan berjumlah RM18,000 yang disalurkan dalam bentuk tunai dan bakul makanan.
Kata Fatimah, Program Sejambak Kasih di Sarawak adalah program khas yang diadakan sempena perayaan utama, bermula dengan Tahun Baru Cina pada awal tahun.
“Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang menganjurkan program ini khusus untuk meraikan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Program ini dianggap sebagai program istimewa atau ‘signature’ bagi JKM di Sarawak,” katanya. – TVS