SIBU, 10 Jan: Sebanyak 23 buah lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) baharu ditubuhkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata inisiatif berkenaan turut merangkumi kos penyelengaraan pusat itu selama lima tahun di seluruh negeri ini.
“Jadi tadi kita nampak bahawa ada pengisian program yang dilakukan oleh pihak NADI. Antaranya ialah untuk memberi pengetahuan kepada inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan dan maklumat-maklumat lain penting yang dilakukan oleh kerajaan dan kerajaan Malaysia di peringkat persekutuan ataupun Kerajaan Sarawak supaya dapat diafahami dan dihayati oleh rakyat di seluruh negara ataupun di seluruh Sarawak terutama sekali rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pusat NADI, Teku di Sibu, hari ini.
Terdahulu, Julaihi turut mengadakan melawat ke dua lagi pusat NADI baharu di Sibu iaitu di NADI Pelawan dan NADI Salim pada Jumaat.
Turut mengiringi Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi, Datuk Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Dewan Undangan Pelawan, Michael Tiang Ming Tee.Dalam pada itu, Julaihi menyeru agar masyarakat di sini untuk menyertai NADI berikutan pusat berkenaan memudahkan akses mereka kepada perkhidmatan ICT yang disediakan.
“Jadi di antara peserta yang sudah berdaftar, kalau di NADI Teku tadi 60 peratus adalah pelajar, 40 peratus adalah dalam kalangan komuniti tempatan.
“Ini menunjukkan bahawa pelajar sudah mempunyai akses kepada kemudahan yang disediakan oleh Nadi. Selain daripada itu, kita juga mendapati bahawa penduduk tempatan pun telah menunjuk minatnya kepada NADI,” ujarnya.Selain itu, Julaihi juga menggalakkan golongan pelajar sekolah terutama dari golongan B40 untuk mendaftarkan diri sebagai ahli komuniti NADI dan memanfaatkan kemudahan ICT di sini.
Setakat ini, sebanyak 156 pusat NADI telah beroperasi di seluruh Sarawak. – TVS